Kali ini diriku rasa terpanggil untuk menjelaskan perihal satu masalah yang dipandang biasa oleh kebanyakan remaja. Firasatku mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan dan jika beliau memang antara seseorang yang mendalami ilmu Islam.
Yang sedihnya, golongan yang memahami inilah yang telah melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Contohnya, berseluar pendek, berbaju ketat dan sebagainya.
Apa itu aurat?
Aurat adalah suatu kehormatan diri bagi seseorang, yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Walau di dalam apa jua keadaan, menjadi kewajipan ke atas umat Islam menutup aurat. Definisi lain ialah sesuatu yang tidak dibenarkan wanita mempersembahkannya di hadapan lelaki ajnabi ataupun sebaliknya.
Dalil-dalil berkenaan penjagaan aurat :
Maksud ayat al-Quran,
Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
(al-A`raaf 7:31)
Rasulullah saw bersabda:
“Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram.”
(Hadith Riwayat Aththahawi)
“Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?’ Nabi saw menjawab, “Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.”
(Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)
Jadi berdasarkan dali-dalil di atas menjadi kewajipan ke atas kita menjaga aurat,Maka hukum di sini jika kita membukanya adalah haram dan ditegah dalam agama. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk perubatan. Orang-orang yang suka mendedah aurat mereka pasti akan di azabkan dengan azab yang pedih di akhirat kelak
Batasan-batasan aurat :
A.Aurat di khalayak awam
1. Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak.
2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.
B.Aurat dengan ahli keluarga
1. Bagi Lelaki, antara pusat dan lutut
2. Bagi perempuan, antara pusat dan lutut
C.Aurat sesama jantina (dengan syarat tiada fitnah)
1.Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut
2.Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut
*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.
D.Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)
1.Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan yang wajib ditutup.
2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut
Etika menutup aurat
1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya
2.Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.
3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.
4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.
Hukum melihat aurat
Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jenis, seperti melihat seorang lelaki kepada aurat seorang lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Lebih berat lagi jika memandang kepada aurat yang berlainan jenis seperti seorang lelaki melihat kepada aurat perempuan dan sebaliknya. Apatah lagi melihat kepada artis perempuan masa kini
Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua
Namun jika melihat kepada aurat sendiri ia dimakruhkan, samada seorang lelaki ataupun perempuan. Makruh juga membuka aurat di tempat yang sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.
Jika terpaksa, seperti perubatan, harus bagi seorang ahli perubatan sesama jenis dengan pesakit melihat kepada aurat pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Seperti ahli perubatan perempuan melihat kepada aurat pesakit perempuan dan sebaliknya.
Jika ahli perubatan berlainan jenis dengan pesakit, seperti ahli perubatan lelaki dan pesakit perempuan, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani dan dengan syarat tiadanya ahli perubatan perempuan di sana. Ketika ini, haruslah melihat kepada aurat pesakit tersebut.
Kesimpulan,
Telah menjadi kewajipan kita semua untuk menegah segala kemungkaran mengikut kemampuan kita masing-masing. Dan kewajipan ke atas kita juga untuk bersama-sama membendung gejala negatif tersebut dari tersebar lebih meluas tanpa batasannya.
-sedikit sumber maklumat di perolehi dari jawapan panel kemusykilan agama, JAKIM yang menceritakan perihal aurat berdasarkan pandangan mazhab Syafie.
No comments:
Post a Comment